RSS

Tun Perak

Tun Perak telah dianggap salah seorang daripada tiga orang pentadbir yang teragung.di alam Melayu pada masa Kesultanan Melayu Melaka. Beliau mempunyai keperibadian, cita-cita dan kebolehan yang tinggi murni bagi seorang pemimpin. Beliau merupakan Bendahara Melaka dalam kurun ke-15 dan merupakan pentadbir yang teragung bersama-sama dengan Aria Gajah Mada dari Majapahit dan Raja Kenayan dari Pasai. Beliau merupakan Bendahara Melaka yang ke-lima dengan gelaran Bendahara Paduka Raja selepas Bendahara ke-empat iaitu Tun Ali Seri Nara Di-raja.

Melaka telah diasaskan oleh Parameswara pada tahun 1396. Melaka telah dinamakan bersempena pokok melaka. Melaka telah dijadikan pentas bagi pendatang Cina, Portugis, Belanda dan Inggeris dalam penciptaan sejarah. Di bawah pemerintahan Parameswara dan pemerintah-pemerintah selepas beliau serta dibantu oleh Bendahara Tun Perak, Melaka membangun hingga menjadi kuat dari segi politik, sosial dan ekonominya. Kepesatan pembangunan di Melaka telah menarik ramai pedagang-pedagang asing dari negara China, India, Timur Tengah serta negara-negara jiran. Melaka pernah menjadi pusat perdagangan utama di timur pada suatu masa dahulu.

Kesejahteraan Melaka ini jugalah yang telah menarik kuasa-kuasa asing seperti Thailand untuk menakluk Melaka. Percubaan Thailand untuk menakluk Melaka pada tahun 1446 dan 1456 telah dijatuhkan oleh Tun Perak, seorang Bendahara Melaka yang bijak. Perhubungan Melaka dengan negara China juga adalah hasil keputusan strategik Melaka untuk menghalang kemasukan Siam. Kepesatan pembangunan di Melaka telah menarik ramai pedagang-pedagang asing dari negara China, India, Timur Tengah serta negara-negara jiran. Melaka pernah menjadi pusat perdagangan utama di timur pada suatu masa dahulu.

 
Leave a comment

Posted by on July 15, 2011 in Pejuang Tanah Air

 

Tok Gajah

Tok Gajah adalah ayah kepada Pahlawan Melayu Pahang iaitu Mat Kilau. Pada tahun 1891 hingga tahun 1895 telah berlaku pemberontakan Pahang terhadap pemerintah negerinya. Tok Gajah merupakan tokoh yang terlibat bersama dengan Datuk Bahaman, Mat Kilau dan Datuk Lela menentang penjajah Inggeris. Beliau bertindak menghalau penjajah Inggeris dengan segala tipu helahnya yang hendak merampas pemerintahan negeri Pahang. Beliau mempunyai semangat perjuangan yang gigih serta sanggup berdepan dengan askar-askar Inggeris yang lengkap bersenjata. Beliau juga bersama dengan Wan Lingga telah diarahkan oleh Bendahara Wan Ahmad untuk menyerang Maharaja Perba dan Orang Kaya Setia Lela. Ini adalah disebabkan perselisahan faham antara Maharaja Perba dengan Bendahara. Beliau pernah diutuskan ke Singapura bagi mendapatkan khidmat peguam sebagai penasihat Sultan Ahmad. Beliau juga menjadi ketua pasukan perang Sultan Ahmad dalam menentang penjajah Inggeris.

Golongan ketiga di negeri Pahang yang menjadi pemilik tanah yang penting dan berkuasa di kawasan-kawasan tertentu dikenali sebagai Orang Besar Raja. Golongan ini juga merupakan orang kesayangan istana tetapi bukan berketurunan bangsawan dan dinaikkan pangkat berdasarkan kepada kecekapan serta kemahirannya dalam bidang ketenteraan. Tok Gajah dan Tuan Sheikh Kechil merupakan dua orang tokoh yang terpilih mengikut kategori tersebut. Tok Gajah mempunyai pengaruh yang luas dan sangat dihormati serta ditakuti oleh orang-orang Inggeris. Beliau merupakan penasihat utama Sultan dalam segala yang berkaitan dengan Hulu Pahang, iaitu hal-hal yang berhubung dengan kawasan-kawasan di hilir sungai dari Pulau Tawar.

 
Leave a comment

Posted by on July 15, 2011 in Pejuang Tanah Air

 

Mat Kilau

Nama penuh beliau adalah Mat Kilau bin Imam Rasu @ Tok Gajah. Ibu beliau adalah Mahda iaitu anak kepada Tok Kaut Burau. Mat Kilau dipercayai lahir dalam tahun 1865/1866 di Kampung Masjid, Pulau Tawar. Mat Kilau pandai mengaji, berzanji dan berdikir maulud serta belajar berdikir rebana yang dikenali sebagai “Dikir Pahang”.Hobi Mat Kilau adalah bermain gasing dan berlaga buah keras sehingga sentiasa menjadi juara di kampung beliau. Apabila berusia lebih kurang 20 tahun, Mat Kilau berkahwin dengan seorang gadis yang bernama Yang Chik binti Imam Daud, Kampung Kedondong. Hasil perkahwinan ini Mat Kilau telah dikurniakan tiga orang anak. Setelah berkahwin barulah Mat Kilau belajar bersilat dan menuntut ilmu kebatinan. Mat Kilau bukan sahaja belajar bersilat sebagaimana sahabatnya yang lain, bahkan beliau lebih mendalami silat dengan menggunakan senjata seperti keris dan parang. Mat Kilau banyak menuntut ilmu batin dan kepahlawanan hinggakan boleh menghilangkan diri. Mat Kilau juga banyak menuntut ilmu daripada ayahnya sendiri iaitu Tok Gajah. Ilmu kebatinan secara agama banyak dituntutnya daripada Haji Osman yang dikenali juga sebagai Haji Muntuk sebelum dia berpindah ke Pekan sebagai Mufti Negeri Pahang.

Mat Kilau mempunyai sifat-sifat seorang pemimpin dan pemikiran yang matang telah menjadikan beliau seorang pemuda yang sangat disegani dan dihormati. Mat Kilau mempunyai cara pemikiran yang matang. Pada bulan Oktober 1888 semasa Tok Gajah berada di Pekan, Hugh Clifford telah datang ke Pulau Tawar dan berunding dengan Mat Kilau. Ini menunjukkan Clifford mempercayai idea-idea Mat Kilau. Beliau suka bergaul dengan setiap lapisan masyarakat dan ini membuatkan beliau menjadi seorang yang luas pandangan dan mendapat kepercayaan penuh dari masyarakat. Mat Kilau adalah seorang yang jujur dan tegas, justeru itu dia sangat disegani dan amat dikasihi oleh pengikut-pengikutnya. Pengikutnya terlalu ramai,tetapi yang diketahui namanya ialah Awang Nong,Teh Ibrahim, Mat Kelubi, Mat Ali(khatib), Awang(Imam) dan Mat Tahir. Mereka ini sanggup sehidup semati dengan Mat Kilau.

Khabar yang menyatakan Mat Kilau mati tersiar di dalam akhbar-akhbar Inggeris yang diterbitkan di Singapura. The Straits Times dan The Free Press menyatakan “Ketua Pendehaka, iaitu Dato’ Bahaman telah jatuh ke tangan pemerintahan Siam pada bulan Oktober,1895. The Free Press pula memberitahu bahawa “Mat Kilau telah melawan apabila hendak ditawan dan akibatnya dia telah cedera di muka dan di kepalanya. Luka-luka itu sangat parah dan dia telah mati di dalam perjalanan ke hilir Kota Bharu disebabkan kehilangan banyak darah”. Dengan tersiarnya berita kematian Mat Kilau oleh akhbar The Free Press keluaran 22 Oktober 1895, maka pada pendapat umum tamatlah sudah riwayat Mat Kilau.akan tetapi apa yang sebenarnya berlaku tiada diketahui kecuali beberapa orang sahabatnya seperti Mustafa bin Awang Mat(Jusoh Rimau), Pendekar Tok Demali ,Raja Ibrahim(Pak Him), Mat Kelantan dan beberapa orang lain. Disebabkan Mat Kilau dicop sebagai ‘penderhaka’ oleh Inggeris,maka terpaksalah Mat Kilau mengasingkan diri dan berpindah dari satu tempat ke satu tempat dan akhirnya bermastautin di Batu 5,Jalan Kuantan-Gambang. Semenjak 1930 Mat Kilau juga terpaksa menukar namanya buat beberapa kali dan akhirnya dia memakai nama Mat Siam.

Dalam bulan Disember 1969,Tuhan telah menggerakkan hati Mat Kilau yang pada itu memegang kad pengenalan diri K/P 2044778 dan bernama Mohamad bin Ibrahim,memperkenalkan dirinya yang sebenar.Untuk mengelakkan dirinya dari menjadi tumpuan ramai,maka Mat Kilau telah bersetuju mengumumkan dirinya di kampung kelahirannya. Atas daya usaha Omar bin Mat Kilau,maka Mat Kilau dibawa ke Kampung asalnya iaitu Kampung Masjid,Pulau Tawar. Pada hari Jumaat 26 Disember 1969, Mat Kilau telah pergi ke Masjid di Kampung Masjid untuk bersembahyang Jumaat. Selepas sembahyang, Mat Kilau telah mebaca Quran dan kemudiannya mengistiharkan dirinya sebagai Mat Kilau. Pengistiharan ini telah mengemparkan orang ramai sehingga Kerajaan Pahang menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyiasat. Jawatankuasa itu dibentuk pada 8 Januari 1970. Beberapa orang telah ditemuramah bagi membuktikan bahawa Mat Siam itu adalah Mat Kilau. Setelah disahkan maka pada pukul 10.30 pagi hari Khamis,6 Ogos 1970, Mat Siam diisytiharkan sebagai Mat Kilau oleh Menteri Besar Pahang. Setelah empat hari selepas pengumuman pengiktirafan terhadap dirinya dibuat, Mat Kialu meninggal dunia kerana keuzuran. Usianya ketika itu dipercayai berusia 122 tahun. Beliau tidak sempat menceritakan kisah-kisah perjuangannya kepada kita dengan lebih lanjut.

 
Leave a comment

Posted by on July 15, 2011 in Pejuang Tanah Air

 

Hang Tuah

Hang Tuah telah dilahirkan di Kampung Sungai Duyong, Melaka. Ayahnya bernama Hang Mahmud dan ibunya bernama Dang Wati. Ibubapa beliau mempunyai sebuah gerai kecil bersebelahan dengan Kampung Bendahara. Semasa Hang Tuah masih kecil, beliau bekerja sebagai pemotong kayu di gerai keluarganya.

Hang Tuah mempunyai sahabat karib yang bernama Hang Jebat, Hang Lekir, Hang Lekiu dan Hang Kasturi dan dikenali sebagai lima perwira. Lima sahabat karib ini telah berlajar berguru daripada Guru Ali Putera yang tinggal diatas bukit. Keperwiraan Hang Tuah terserlah apabila beliau dapat mengalahkan orang yang mengamuk di Kampung Bendahara, dimana Tun Perak yang datang menyiasat berkenaan perkara tersebut juga telah diserang. Keadaan tersebut dapat diselamatkan oleh Hang Tuan dan kawan-kawannya.

Hang Tuah terkenal dengan sifat taat setia yang tinggi kepada raja dan sanggup berkorban bagi menunaikan tanggungjawab kepada raja dan negerinya. Beliau juga merupakan seorang yang bijaksana dan pintar, pandai menyesuaikan diri dalam keadaan tertentu serta dipercayai oleh Sultan. Hang Tuah merupakan wira unggul pada zaman Kesultanan Melayu Melaka dan dapat mengalahkan pihak musuh yang ingin menawan Melaka. Kata-kata “Tak Melayu Hilang di dunia” akan sentiasa hidup dengan bersama-sama dengan wira Hang Tuah.

 
Leave a comment

Posted by on July 15, 2011 in Pejuang Tanah Air

 

Datuk Bentara Luar Johor

Dato’ Bentara Luar iaitu Dato’ Muhamad Salleh bin Perang berjaya memulakan usaha bagi membangunkan dan membuka Batu Pahat yang dikenali sebagai Pulau Kundur dan Sungai Batu Pahat dikenali sebagai Sungai Kundur. Ianya merupakan petempatan kecil yang berasingan yang dibuka oleh orang-orang kenaman dan orang-orang besar seperti penghulu dan ketua-ketua kampung. Beliau juga merupakan bapa pembangunan bagi negeri Johor berdasarkan usaha-usaha yang dilakukan oleh beliau. Pada tahun 1893, barulah Dato’ Bentara Luar berjaya memulakan usaha bagi membangunkan Bandar Batu Pahat di kawasan Simpang Kanan, kira-kira tujuh batu dari kuala sungai Batu Pahat. Pada 4hb. November 1893, Dato’ Muhamad Salleh yang pada masa itu diam di Kampung Senangar, dipanggil ke Johor Bahru. Pada 11hb. November 1893 dimana Sultan Abu Bakar telah bertitah kepada beliau untuk membuka Batu Pahat. Dato’ Bentara Luar amat mementingkan tanggungjawab beliau dalam memajukan Batu Pahat iaitu dengan menyediakan kemudahan jalan.

Pembukaan rasmi Batu Pahat telah dilakukan pada 1hb. Januari 1894 oleh Dato’ Muhamad Salleh bin Perang sendiri dan telah dihadiri oleh Orang-orang Kaya, Penghulu-penghulu dan orang-orang kenamaan tempatan. Pejabat-pejabat kerajaan juga telah diwujudkan dan disusun dengan teratur. Sistem pentadbiran moden digantikan dengan sistem tradisional dengan pegawai-pegawai tadbir yang tertentu. Batu Pahat mula berkembang maju di mana Dato’ Muhamad Salleh bin Perang yang menjadi wakil Raja memerintah Batu Pahat, kemudiannya menjadi Pesuruhjaya Kerajaan dan telah memainkan peranan yang amat aktif. Orang-orang kampung digalakkan dan digesa membuka kebun untuk bercucuk tanam dan membuat parit tali air dan dalam masa yang sama pemodal-pemodal asing mula datang membuka kebun, ladang serta berniaga di Batu Pahat.

Kebolehan Dato’ Bentara Luar berbahasa Cina merupakan faktor menyebabkan beliau pada umumnya disukai oleh orang Cina dan faktor yang membawa kepada kemajuan ekonomi dan harmoni di daerah ini. Pentadbiran Batu Pahat di bawah pimpinan Dato’ Bentara Luar berjalan lancar dan mengagumkan, ini dinyatakan oleh Ungku Sulaiman bin Daud, Pesuruhjaya Besar Johor (General Commisioner) dalam rangka lawatan tugasnya di Batu Pahat pada 21hb. hingga 24hb. Disember 1896.

Zaman Dato’ Bentara Luar berakhir pada pertengahan tahun 1911 apabila Ungku Ahmad bin Ungku Muhamad Khalid dilantik menjadi Pesuruhjaya Kerajaan Batu Pahat menggantikan Dato’ Bentara Luar. Batu Pahat mengalami zaman baru bila menjelma pula sistem pentadbiran yang seiringan dalam mana Pesuruhjaya Kerajaan Daerah berpadu dengan Penolong Penasihat berbangsa Inggeris untuk menjalankan pentadbiran. Kini Batu Pahat terus membangun dan muncul sebagai salah satu daerah yang termaju di negeri Johor Darul Takzim dan mempunyai potensi yang besar untuk terus maju pada masa hadapan.

 
Leave a comment

Posted by on July 15, 2011 in Pejuang Tanah Air

 

Dol Said

Dol Said @ Abdul Said lahir dalam tahun 1773, dari suku Semelenggang dan menjadi Penghulu Naning menggantikan Penghulu Anjak serta dilantik sebagai Penghulu Naning pada tahun 1799 sewaktu berumur 26 tahun. Dol Said merupakan pemerintah Naning yang ke-sembilan yang membantah pengenaan cukai ke atas daerahnya oleh pihak British. Beliau secara keras membangkang kemasukan tentera British di Naning dengan menunjukkan kebijaksanaan peperangan yang telah mengalahkan pihak British dalam dua kempen peperangan. Peperangan Naning, yang berlaku pada tahn 1834 telah menjadikan Dol Said seorang wira yang berani yang telah mengukir tempat di sejarah Melaka.

Penghulu Dol Said telah berjaya mendapat sokongan orang Melayu seramai 1,000 orang untuk menentang British dalam Perang Naning yang bermula pada 6 Ogos 1831 dan berakhir pada 24 Ogos 1831 iaitu kira-kira 18 hari berperang. Dalam peperangan tersebut, Penghulu Dol Said telah mendapat kejayaan dan sebab utama kejayaan tersebut adalah kerana perpaduan yang wujud di kalangan orang Melayu serta sokongan orang Melayu di wilayah yang lain. Dol Said akhirnya terpaksa berundur ke Pasir Besar setelah kalah dalam perang Naning kedua pada Februari 1832 dan dalam masa 4 bulan akhirnya Naning jatuh ke tangan British pada 15 Jun 1832. Naning kemudiannya diletakkan di bawah peraturan Negeri-negeri Selat pada 27 Oktober 1832.

 
Leave a comment

Posted by on July 15, 2011 in Pejuang Tanah Air

 

Tan Sri Mubin Sheppard

Tan Sri Dato ‘Dr Hj. Abdul Mubin (Mervyn) Cecil ffranck Sheppard (MCff. Sheppard), PSM, JMN, PPT, CMG, MBE berkongsi tentang keunikan istimewa, OStJ, ED (meninggal dunia pada 11 September 1994) adalah seorang ahli sejarah budaya dan warisan Malaysia.

Tan Sri Mubin Sheppard dilahirkan di Ireland pada tahun 1905.

Pada tahun 1927, beliau menduduki Perkhidmatan Awam Malaya (MCS) Peperiksaan Persaingan di London, dan tiba di Tanah Melayu pada tahun 1928 untuk berkhidmat dengan MCS hingga 1963.

Beliau berkhidmat sebagai Komander Syarikat di Negeri-negeri Melayu Bersekutu Volunteer Force (FMSVF) dari 1941-1942. Semasa Perang Dunia Kedua (1942-1945), beliau menjadi Prisoner of War (POW). Beliau bersara sebagai Major dalam FMSVF itu pada tahun 1945.

Hadiah Memorial Mubin Sheppard telah ditubuhkan untuk merangsang pelajar kesedaran tentang warisan budaya Malaysia.

Senarai buku-buku yang ditulis oleh Tan Sri Mubin Sheppard

-Tunku Abdul Rahman, Bapa Kemerdekaan (1957-1970)
-Taman Budiman: Memoirs penjawat awam yang bukan ortodoks
-Singapore 150 Years, 1982 ISBN 9971-65-092-4
-Adventures of Hang Tuah (1984)
-Rejimen Melayu 1933-1947

 
Leave a comment

Posted by on July 15, 2011 in Sejarawan Negara

 

Buyung Adil

Yusuf Bin Adil atau lebih dikenali dengan nama Buyung Adil dilahirkan pada tahun 1907 di Teluk Intan, Perak. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Teluk Anson sebelum mendaftar masuk ke Kolej Latihan Sultan Idris (SITC), Tanjung Malim pada tahun 1924. Beliau merupakan pelajar terbaik di SITC dan setelah tamat pengajian, beliau meneruskan kerjaya sebagai seorang guru di sana. Buyung Adil mula menulis tentang Sejarah setelah gurunya Cikgu Abdul Hadi Hassan bertukar ke Kelantan. Pada tahun 1939, beliau telah menulis buku Sejarah Alam Melayu Penggal IV dan Sejarah Melayu V. Semasa zaman penjajahan Jepun, beliau telah terpilih untuk menjalani latihan Perguruan Jepun di Tokyo Shihan Gakko, yang terletak di Kajang Selangor.

Selepas Penjajahan Jepun berakhir, beliau telah dilantik sebagai guru besar di sebuah sekolah di Ipoh di mana beliau mula melibatkan diri secara aktif di dalam Perikatan Melayu Perak. Ini telah menimbulkan kemarahan British yang lantas melantik beliau sebagai Ketua stesyen radio bagi semua sekolah Melayu yang berpusat di Singapura. Setelah menamatkan perkhidmatannya dengan kerajaan pada tahun 1962, beliau telah dipilih menjadi ahli Perkhidmatan Awam Singapura dari tahun 1963 hingga tahun 1969. Sepanjang tempoh tersebut, beliau telah mengumpulkan beberapa buku seperti Sejarah Johor, Sejarah Selangor, Sejarah Perak dan Sejarah Pahang. Beliau turut membantu Tan Sri Senu Abdul Rahman mengumpulkan bahan untuk buku Revolusi Mental pada tahun 1970.

Pada tahun 1971, beliau mula bekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai Pegawai Penyelidik Sejarah. Pada ketika inilah beliau telah mengembangkan lagi kemahiran menulisnya dengan mengumpulkan buku-buku sejarah seperti Sejarah Sarawak, Sejarah Perlis, Sejarah Negeri Sembilan, Sejarah Melaka, Sejarah Kedah, Sejarah Terengganu dan Sejarah Kelantan yang telah diterbitkan oleh DBP. Buyung Adil meninggal dunia pada tahun 1978.

 
Leave a comment

Posted by on July 15, 2011 in Sejarawan Negara

 

Dato’ Khoo Kay Kim

Professor Emeritus Tan Sri Dato` Dr. Khoo Kay Kim

Professor Emeritus Tan Sri Dato` Dr. Khoo Kay Kim (Lahir: Mac 28 1937) ialah seorang ahli sejarahwan terkemuka di Malaysia dan mendapat kehormatan Emeritus dari Universiti Malaya. Beliau dilahirkan di Kampar, Perak, Malaysia.

Semasa zaman persekolahannya, beliau pernah menghadiri sekolah Inggeris di sebelah pagi dan sekolah Cina di sebelah petang. Pada tahun 1960, beliau memperolehi ijazah B.A. (hons) dalam bidang sejarah daripada Universiti Malaya, Singapura. Seterusnya, pada tahun 1967, beliau mendapat ijazah sarjana M.A. Sejarah daripada Universiti Malaya, Singapura dan Ph.D. Sejarah daripada Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada tahun 1974. Profil kariernya bermula di Universiti Malaya, Kuala Lumpur hingga ke hari ini. Dari tahun 1964 hingga tahun 1966, beliau memulakan kariernya sebagai seorang Tutor. Seterusnya, dari tahun 1966 hingga tahun 1967, beliau menjawat jawatan Pembantu Pensyarah (sementara) dan akhirnya menjadi Pembantu Pensyarah dari tahun 1967 hingga Julai tahun 1968. Beliau dilantik sebagai seorang Professor pada tahun 1974. Dari bulan Mei tahun 1973 hingga tahun 1975, beliau telah dilantik sebagai Pemangku Ketua Jabatan Sejarah dan kemudiannya sebagai Professor Jabatan Sejarah pada bulan May tahun 1975. Beliau telah dianugerahkan J.S.M Johan Setia Mahkota pada bulan Jun tahun 1983 dan pada bulan April tahun 1987, beliau dianugerahkan D.P.M.P Darjah Paduka Mahkota Perak yang membawa gelaran Dato

Diantara karya penulisannya adalah Tranformasi & Demokrasi yang diterbitkan oleh Pelanduk Publications dalam tahun 1971 dan Biografi Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan Shah yang diterbitkan dalam tahun 1992. Beliau juga terlibat di dalam organisasi sukarelawan iaitu sebagai Penasihat, Alumni Malaysian University of Southern California (MUSCA) pada 4 September tahun 1995. Antara lain penglibatan beliau termasuk menjadi hakim padang dan balapan di Sukan Semenanjung Asia Tenggara (SEAP) pada tahun 1964 dan juga sebagai Pengarah, Pusat Sukan (Universiti Malaysia) pada bulan April tahun 1995. Sebagai ahli akademik yang terkenal, Professor Khoo telah menulis beberapa buku berkenaan sejarah yang diguna pakai oleh murid-murid sekolah hari ini.

 
Leave a comment

Posted by on July 15, 2011 in Sejarawan Negara

 

Abdul Rahman bin Tuanku Imam Nuh

Abdul Rahman bin Tuanku Imam Nuh, lebih dikenali sebagai Dato’ Bahaman ialah Orang Besar yang menentang penjajah British di Semantan, kawasannya di negeri Pahang, Tanah Melayu.

Asal-Usul

Dato Bahaman ialah anak kepada Tuanku Imam Nuh yang berasal dari Bangkinang, dan Rokiah Abdul Rahman, anak perempuan Tok Setia Perkasa Semantan yang berketurunan Bugis dari Sulawesi Selatan. Seorang yang pandai bersilat dan mempunyai ilmu kebal, kelebihan ini telah menyebabkan Bahaman digelarkan ‘Seman Tahan’ oleh penduduk di sekitar kawasan itu sehingga sungai yang tidak bernama ketika itu diberi nama Sungai Seman Tahan dan seterusnya menjadi tempat persinggahan British.

Dato’ Bahaman juga dikatakan pernah menjadi anak angkat kepada Bendahara Ali dan menjadi rakan sepermainan kepada Sultan Ahmad ketika mudanya. Apabila Sultan Ahmad menaiki takhta, Dato’ Bahaman terus menabur bakti kepada tanah airnya.

Anugerah

Dato’ Bahaman telah diangkat sebagai salah seorang Orang Besar Berlapan dan dianugerahkan dengan gelaran Dato’ Setia Perkasa Pahlawan Semantan kerana kerana beliau telah menunjukkan sikap serta kebolehannya sebagai panglima dalam perang saudara antara Sultan Ahmad dan adinda baginda Wan Mutahir serta memimpin pasukan Pahang untuk membantu Tengku Kudin dalam perang Saudara di Klang, Selangor. Selepas kematian Orang Kaya Indera Segara, Dato’ Bahaman telah dilantik oleh Sultan Ahmad sebagai Orang Kaya Temerloh. Dengan pangkat tersebut, kedudukan Dato’ Bahaman adalah sedarjat dengan Orang Besar Berempat dan seringkali diajak berunding oleh baginda Sultan Ahmad.

 Perang Semantan

Punca utama Perang Semantan ialah ketidakpuasan hati Orang-orang Besar Pahang terhadap campur tangan British ke atas kawasan mereka. Ketegangan itu bermula pada bulan Disember 1890 ketika E.A Wise hendak mendirikan sebuah balai polis di Lubuk Terua yang terletak di kawasan Dato’ Bahaman, tanpa sebarang perundingan dengannya. Apabila Hugh Clifford, Pemangku Residen British Pahang, mengetahui hal tersebut, beliau menasihatkan Sultan dan baginda kemudian menitahkan Dato’ Bahaman supaya pergi ke Pekan agar perkara itu dapat disiasat. Oleh sebab Dato’ Bahaman enggan ke Pekan, Sultan mengeluarkan surat perintah yang melucutkan pangkat dan tarafnya sebagai Orang Kaya Semantan.

Tindakan itu menyakitkan hati Dato’ Bahaman. Keadaan ini menyebabkan beliau dan pengikut-pengikutnya menyerang hendap C.E.M Deaborough di Sungai Semantan pada 15 Disember 1891 ketika beliau menyangka Desborough datang untuk menangkapnya. Dalam serangan tiba-tiba itu, pihak Desborough telah kalah dan mereka melarikan diri ke bandar Temerloh.

Setelah mengetahui peristiwa di Semantan itu, pegawai-pegawai British Pahang menyediakan tentera untuk melawan pembangkang-pembangkang Melayu. Ekoran dari itu pada 21 Disember 1891, satu pasukan yang diketuai oleh Clifford dan Tengku Mahmud pergi ke Kampung Kelubi yang merupakan kubu kedua pertahanan Dato’ Bahaman. Di sini berlaku sekali lagi pertempuran antara pihak British dengan Dato’ Bahaman tetapi pihak British sekali lagi ditewaskan.

Buruan British

Pada Januari 1892, pihak Inggeris telah memaksa Sultan Wan Ahmad untuk menamatkan kebangkitan Dato’ Bahaman di Pahang. Satu pasukan yang dinamakan “Gerakan Sultan” telah dilancarkan pada 22 Januari 1892 dengan kekuatan 800 orang. Seramai 140 daripadanya mempunyai senjat api yang dipimpin oleh Tengku Ali, Rodger (Residen Pahang), Panglima Garang Yusof, Saiyid Ali Badoh dan Abdullah dari Bera. Gerakan ini juga menemui kegagalan kerana selain daripada hanya dapat memusnahkan 11 buah kubu kecil termasuk Kubu Batu Ampar, jejak Dato’ Bahaman tidak dapat dikesan dan tidak ada tanda-tanda yang memungkinkan Orang Kaya Semantan itu dan pengikut-pengikutnya yang terdekat akan tertangkap. Pada awal bulan Februari, 1892, keadaan tegang dianggap telah berakhir. Untuk sementara waktu, daerah Semantan telah diletakkan dibawah jagaan Abdullah Bera.

Pada Mac 1892, pasukan Dato’ Bahaman berjaya menawan semula Lubuk Terua. Perjuangan Dato’ Bahaman menjadi lebih hebat kerana dibantu oleh Tok Gajah. Pihak Inggeris kalah dan Abdullah Bera terpaksa pulang ke Bera. Kubu Lubuk Terua dikawal oleh orang-orang dari Cempaka dan Buluh. Ternyata mereka bersimpati dengan gerakan penentangan Dato’ Bahaman terhadap Inggeris.

Pada Mei 1982, Inggeris telah menyerang Lubuk Terua lagi. Pejuang Pahang terpaksa berundur ke Kelantan dan Terengganu. Di Terengganu, Ulama Tok Ku Paluh telah menyemarakkan semangat pejuang Pahang untuk berjihad menentang Inggeris. Pada 14 Jun 1894, Kuala Tembeling dan Jeram Ampai berjaya ditawan oleh Dato’ Bahaman bersama 100 orang pengikutnya.

Pada 29 Jun 1894 sepasukan tentera kerajaan Inggeris yang diketuai oleh Jeneral Walker menyerang kumpulan penentang Inggeris yang diketuai oleh Datuk Bahaman, Tok Gajah, Mat Kilau dan Mat Kelubi di Jeram Ampai, Kuala Tembeling, Pahang. Dalam serangan itu Pemangku Penguasa Ulu Pahang bernama Wise, terbunuh bersama empat anggota polis. Serangan tersebut menyebabkan Mat Kilau berundur ke Kelantan. Ini menandakan berakhirnya perang menentang Inggeris di Pahang.

Sir Hugh Clifford, Residen Bristish di Pahang melancarkan serangan secara besar-besaran yang menelan belanja yang banyak, memburu mereka hingga ke Terengganu dan Kelantan.

Gerakan itu dihentikan pada bulan November 1895 apabila Datuk Bahaman, Pawang Nong dan Mat Lela dikatakan menyerah diri kepada kerajaan Siam tetapi diberi tempoh perlindungan dan ditempatkan di Chiengmai pada awal 1896, manakala Tok Gajah dan Mat Kilau diberitakan meninggal di Terengganu.

Kebangkitan Dato’ Bahaman selama 4 tahun (1891-1894) telah menyebabkan pihak Inggeris menanggung hutang yang banyak. Sultan Ahmad dipaksa membayar sebanyak 7200.00 dollar setahun bagi menyelesaikan hutang tersebut.

 Persetiaan Sumpah

Memandangkan keadaan tidak selamat, Dato’ Bahaman dan pengikutnya telah mengambil keputusan pergi ke Siam. Sebelum itu satu persetiaan telah dilakukan di Kg. Bukit Haji Pak Jedih, Tanah Merah, dimana para pejuang bersumpah akan menggunakan nama lain dan tidak akan mendedahkan siapa diri mereka sebenarnya. Seramai 7 orang terlibat dalam sumpah persetiaan itu, iaitu Dato’ Bahaman (Panglima Kakap), Mat Kilau (Mat Siam, Mat Dahan, Mat Dadu, Mohamed Ibrahim), Mat Lela (Kilat Senja, Gong Poh), Mamat Kelubi (Tok Janggut).

Pada tahun 1911, Dato’ Bahaman telah kembali ke Kelantan manakala Mat Lela pergi ke Indonesia, sementara 2 orang pejuang lagi telah meninggal dunia di Patani, Siam. Pada tahun 1920, Dato’ Bahaman balik ke Kuantan dan tinggal di Kg. Paya Lalang (Padang Lalang) dengan memakai nama Lebai Deraman. Pada tahun 1926, Dato’ Bahaman berpindah ke Kg. Peramu dan dikenali sebagai Tok Guru Peramu. Mat Kilau pula dikatakan berpindah ke Kg Aur Rompin, Tanjumg Medang, Kg. pasir Panjang, Kg. Batu Tering Pekan, Kg. Batu Lima Jalan Gambang. Mamat Kelubi dan Panglima Hitam tidak diketahui kisahnya. Dato’ Bahaman tinggal di Kg. Peramu sehingga kematiannya.

 
Leave a comment

Posted by on July 15, 2011 in Pejuang Tanah Air